Tuesday, February 24, 2009

Mendekati pemimpin yang digeruni musuh


Khaled yang nama penuhnya Khaled Abdel Rahim Ismail Abdel Qader dilahirkan pada 1956 di Kampung Salwad dalam daerah Ramallah di Palestin. Beliau mendapat pendidikan awal di Ramallah pada 1967 dan selepas itu berhijrah bersama seluruh ahli keluarganya ke Kuwait, menyambung pelajaran peringkat menengah di Kuwait.

Semasa belajar di peringkat pengajian tinggi di Universiti of Kuwait, Khaled belajar dalam bidang Fizik hingga bergelar graduan. Ketika belajar di situ, Khaled menjadi perintis kepada penubuhan rangkaian belia yang menjadi sayap kanan Hamas. Ini kerana kerajaan Kuwait pada masa itu amat menyokong penuh rakyat Palestin mengalahkan rakyat mereka sendiri hingga ke hari ini.

Dalam kesempatan mendapat sokongan padu kerajaan Kuwait, Khaled menyediakan kader-kader yang bersedia untuk dikerahkan ke Palestin menghadapi kekejaman rejim Yahudi dengan pembiayaan yang ditanggung oleh pihak berkuasa. Akhirnya kecenderungannya berpolitik telah mendorongnya menubuhkan Rangkaian Politik Palestin di universiti berkenaan.

Beliau juga bertanggungjawab mengasaskan Briged Islam yang dikenali dengan ‘Haq’ yang mengatasi pengaruh mahasiswa-mahasiswa pro-Fatah di universiti yang sama. Setelah menamatkan pengajian, Khaled segera menukar nama briged yang diasaskannya itu kepada Rabitah Islam Pelajar-pelajar Palestin (Ikatan Islam).

Kerjaya sebagai Guru Fizik

Setelah berjaya bergelar graduan, Khaled memulakan kerjaya sebagai seorang guru fizik selama masih berada di Kuwait, seterusnya mendirikan rumahtangga pada 1980 dan dikurniakan seramai tujuh orang anak, tiga perempuan dan empat lelaki. Walaupun sibuk dengan tugas mengajar di samping menitikberatkan urusan keluarga, Khaled tetap memberi ruang dan masa bagi kemajuan isu Palestin.

Beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai guru kerana mahu menumpukan seluruh masa dan tenaganya untuk rakyat Palestin. Beliau terlibat dalam penubuhan Hamas pada 1987 bersama Syeikh Ahmed Yasin, Dr Abdel Aziz Rantisi dan rakan-rakan yang lain, yang merupakan cabang daripada Gerakan Ikhwan Muslimun yang berpusat di Mesir.

Antara jawatan penting Hamas yang disandangnya hingga kini ialah Ketua Jabatan Politik Hamas di Jordan bermula pada 1987 dan di Damsyik, Syria hingga kini, beliau dianggap sebagai perancang utama Hamas selepas Syeikh Ahmed Yasin dan Dr Abdel Aziz Rantisa yang mati syahid kerana dibom oleh rejim Yahudi atas bantuan dan maklumat yang diberikan oleh tali barut Israel di kalangan pengikut Fatah.

Percubaan untuk membunuh Khaled

Pada 25 September 1997, Mosad Israel yang mendapat kerjasama pasukan kesalamatan Israel atas arahan langsung daripada Perdana Menteri ketika itu, Benjamin Netanyahu supaya membunuh Khaled. Beliau yang ketika itu berwarganegara Jordan dan menetap di situ tidak mengesyaki apa-apa, apabila 10 anggota Mosad yang menyamar sebagai warganegara Kanada menemuinya di kediaman yang terletak di Jalan Wasfi al-Tal di Amman.

Tujuan mereka ialah untuk menyuntik bahan beracun ke tubuh Khaled agar mati secara senyap-senyap. Walau bagaimanapun takdir Allah SWT lebih mendahului perancangan jahat Mosad itu, apabila kemasukan mereka ke Amman dapat dibongkar oleh pegawai imigresen yang mendapati mereka menggunakan dokumen perjalanan palsu, akhirnya para pegawai imigresen bergegas ke kediaman Khaled dan berita itu sampai ke pengetahuan Raja Hussein Talal dan memerintahkan agar kesemua anggota Mosad itu meninggalkan Jordan serta merta.

Benjamin Netanyahu tidak bersetuju dengan tindakan dan campur tangan Raja Hussein yang menahan kesemua anggota Mosad yang terlibat. Namun Raja Hussein menyampaikan berita itu kepada pengetahuan Presiden Amerika ketika itu, Bill Clinton yang meminta agar Benjamin terima dengan lapang dada, beliau tetap tidak setuju, akhirnya Bill Clinton menegaskan bahawa beliau tidak boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan Benjamin yang disifatkan sebagai orang gila.

Satu pertemuan diadakan antara Benjamin, Raja Hussein dan disaksikan oleh Bill Clinton. Benjamin mendesak Raja Hussein agar membebaskan kesemua anggota Mosad yang ditahan di penjara Amman. Raja Hussein terima cadangan itu tetapi dengan syarat, 10 anggota Mosad yang dibebaskan itu digantikan dengan pembebasan pemimpin Hamas Syeikh Ahmed Yasin yang dijatuhkan oleh mahkamah Israel penjara seumur hidup, perjanjian itu dimeterai dan masing-masing bersetuju.

Kronologi percubaan untuk menangkap

Pada Ogos 1999, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengeluarkan arahan kepada Raja Hussein agar menangkap Khaled Masy’al, surat tangkapan itu diserahkan sendiri oleh Setiausaha Luar Amerika, Madelein Albright.

Oktober 2002, ketika satu persidangan Belia Islam Sedunia diadakan di Riyadh-Arab Saudi, Putera Mahkota Amir Abdullah (sekarang Raja Abdullah) dikatakan menerima satu surat daripada Hamas dan Kerajaan Palestin pimpinan Yasser Arafat, bahawa Khaled Masy’al diarahkan untuk bertemu dengan beliau di Riyadh, sedangkan Khaled yang turut menyertai persidangan itu tidak mengetahui tentang arahan itu, akhirnya beliau enggan bertemu dengan Amir Abdullah kerana mengesyaki bahawa itu adalah umpan untuk menangkapnya.

Tanggal 23 Mac 2004, tiga hari selepas kesyahidan Syeikh Ahmed Yasin, pengisytiharan dibuat bahawa orang yang akan menggantikan tempat almarhum Syeikh Ahmed ialah Khaled Masy’al yang dituduh oleh Israel melakukan percubaan membunuh, sedangkan pembunuhan itu dilakukan oleh rejim Israel. Itu merupakan helah untuk melihat sejauhmana Khaled melatah dalam isu fitnah berkenaan.

Tanggal 20 Januari 2006, Hamas menang bergaya dalam pilihan raya Palestin yang membolehkannya membentuk kerajaan yang sah, namun ia disangkal oleh Amerika dan Israel. Malah mereka memilih Mahmoud Abbas sebagai Presiden. Sejak daripada itu Khaled menjadi sasaran kerana dianggap sebagai perancang dalam kejayaan Hamas dalam pilihan raya, serangan demi seranag sama ada dengan memfitnahnya, atau mahu membunuhnya, semua itu tersedia dalam perancangan Israel untuk membunuhnya.

Apa yang kita baca berkaitan dengannya masih lagi sedikit berbanding dengan pengalaman yang beliau lalui dalam meniti liku perjuangan ini. Kalaulah begini usahanya untuk meraih redha dan syurga Allah, adakah kita sudah merasa diri layak untuk dipilih oleh Allah untuk menerima ganjarannya di akhirat kelak? Ayuh, jangan ragu-ragu lagi. Sama-sama kita terus bergiat dalam medan dakwah dan jihad ini di bumi Malaysia.

No comments: