Wednesday, February 4, 2009

Warkah dari PMIUM kepada MPMUM


Alhamdulillah, sekali lagi dan selamanya kita bersyukur pada Allah SWT yang sentiasa bersama-sama membantu orang-orang yang berjuang di atas jalanNya. Moga perjuangan kita sebagai gerakan mahasiswa Islam di kampus mendapat nilaian di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan”. (Surah Al-Hajj: ayat 41)

Dalam pergolakan politik di Malaysia pada ketika ini khususnya Perak telah mencerminkan kebobrokan pemerintahan dan pentadbiran negara. Menjelang Mac ini, Najib dan Umno kelihatan seolah-olah sangat terdesak untuk meraih kepercayaan di kalangan rakyat pasca tsunami politik dan gelombangnya dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kuasa politik wang dimaksimakan, ADUN-ADUN yang agak goyah pendirian dipergunakan. Dan Perak adalah mangsa yang di pilih. Maka berlakulah lompat-melompat antara satu parti ke parti yang lain yang menafikan undi-undi yang diberikan rakyat terhadap parti mereka dahulu. Segalanya ini sanggup dilaksanakan kerana ingin melihat gerakan Islam dan gelombang rakyat tidak berkembang subur seterusnya mati.

Melihat keadaan yang berlaku tersebut, kita selaku mahasiswa Islam tidak boleh berdiam diri begitu sahaja. Sebaliknya proksi dan platform yang sedia ada perlu dimaksimakan sebaik mungkin supaya generasi muda yang bakal lahir ini kepimpinannya tidak sekeji pemimpin negara yang ada masa kini. Kesedaran politik, demokrasi yang tulen dan bersih dari sebarang anasir rosak dan kotor. Maka dengan itu, PMIUM dan MPMUM seharusnya selari dalam membawa misi ini demi menyahut serta mendepani cabaran ketuanan Islam masa akan datang.

Sebelum daripada ini, PMIUM telah pun memainkan peranan tersebut namun ia masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan dan optimum. Selain itu, sebagai platform yang mewakili seluruh warga kampus dan mahasiswa, MPMUM perlu mengalas misi ini dan menterjemahkannya secara berbeza berbanding PMIUM. Dalam pada itu, penumpuan utama juga tetap perlu diberikan terhadap kebajikan mahasiswa.

Pada peringkat awalnya, MPMUM perlu mengurangkan program-program yang bersifat statik dan lebih menumpukan kepada ‘Down To Earth’ (turun ke padang). Tugasan pertama pemimpin ialah mengambil tahu permasalahan mahasiswa dan situasi yang mereka alami masa kini. Dalam masa yang sama MPMUM yang ada ini perlu membersihkan imej MPMUM sesi lalu di bawah kepimpinan Afandy Sutrisno Tanjung sekaligus memberikan nafas baru kepada mahasiswa bahawa kepimpinan MPMUM pada kali ini benar-benar membela hak-hak mereka. Kita perlu yakinkan mereka bahawa undi yang telah mereka berikan pada pilihanraya lepas adalah benar-benar tepat.

MPMUM sesi kali ini juga perlu memainkan peranan sebagai ‘orang tengah’ kepada mahasiswa dalam menyuara dan menyampaikan hak-hak mereka kepada peringkat yang lebih tinggi. Bukan sekadar dengan HEPA sahaja, bahkan ke peringkat KPT (Kementerian Pengajian Tinggi), ahli-ahli Parlimen, dan juga Perdana Menteri sendiri. Nilai-nilai kepimpinan ini perlu ditonjolkan supaya kepimpinan mahasiswa tidak lagi dipandang sebagai ‘budak suruhan’ dan boneka kepada sesuatu pihak. Sebaliknya kepimpinan mahasiswa dilihat sebagai ‘independent’ dan menjunjung ketuanan ilmu serta mengutamakan hujah dalam sebarang sikap dan tindakan yang diambil.

Dalam menghadapi cabaran berdepan dengan isu-isu semasa yang semakin kritikal dewasa ini sama ada isu ekonomi, politik, sosial, dalam atau luar negara, kepimpinan MPMUM perlu memberikan sudut pandangan mahasiswa yang kritis, analitis, selain fakta yang tepat serta jitu. Lantas dari situ terbitnya idea-idea penyelesaian yang kreatif dan bernas dalam mendepani sesuatu isu. Tindakan-tindakan yang diambil juga perlu jelas dan tidak mengutamakan yang picisan.

Dilihat dari sudut pembinaan kepimpinan, cabaran bagi MPMUM sekarang ialah bagi mewujudkan suatu mekanisme terbaik dalam membangunkan nilai-nilai kepimpinan mahasiswa di setiap peringkat dan lapisan. Ini kerana pemimpin yang baik akan melahirkan ramai lagi pemimpin pada masa hadapan. Bukan sekadar menempa nama sendiri tanpa adanya penerusan kepada agenda dan halatuju perjuangan yang jelas. Bentuk-bentuk acuan kepimpinan tersebut perlu diteliti dengan rapi agar kepimpinan yang dilahirkan tidak bersifat bantut, lemah, takut dan sebagainya.


Buat akhirnya, marilah sama-sama kita berdoa agar kemenangan yang diperoleh ini merupakan suatu nikmat dan peluang yang diberikan Allah SWT kepada gerakan Islam di kampus dan tidak akan bertukar menjadi niqmah atau bala Allah SWT pada kita yang akan menyebabkan kita lalai dari mengingati Allah SWT. Saya mewakili ahli-ahli PMIUM dan seluruh mahasiswa Islam di kampus ini mengharapkan kita dapat mengisi kemenangan ini dengan suatu yang akan menyedarkan kita siapa diri kita sebenarnya dan apa peranan serta tanggungjawab kita.





No comments: