Latar Belakang Isu
Hari ini genap seminggu kerajaan Barisan Nasional memerintah Perak. Bermula dari isu lompat parti dari BN ke PKR oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dan kemudiannya melompat balik ke BN. Ia disusuli pula dengan dua dari PKR dan seorang dari DAP yang mengisytiharkan diri sebagai bebas dan pro kepada BN sekaligus menjadikan kerusi DUN di Perak sebelumnya iaitu Pakatan Rakyat (PR) sebanyak 32 kerusi dan BN sebanyak 27 kerusi menjadi 28:31 kerusi dengan majoriti pada BN.
Isu lompat dari ADUN PKR ke BN ini juga bertambah rumit bila mana mereka telah menandatangani surat perjanjian agar meletakkan jawatan sebagai ADUN bilamana telah melompak parti. Namun surat yang tidak bertarikh itu dipertikaikan dan mereka mengaku tidak berniat seperti itu semasa menandatanganinya.
Sehubungan dengan itu, MB Dato Ir Nizar dan PR membawa isu ini untuk dipertimbangkan dan diambil tindakan oleh sultan supaya diadakan pilihanraya semula. SPR juga menunggu keputusan dari sultan. Malangnya sultan mengisytiharkan tidak akan dilakukan pilihanraya semula bagi DUN-DUN tersebut dan membubarkan kabinet kerajaan negeri yang sedia ada. Sultan juga mengumumkan tarikh angkat sumpah MB baru daripada BN pada jumaat lalu bertempat di Istana, Kuala Kangsar.
Sikap dan Pendirian Mahasiswa
Berikut adalah beberapa sikap dan pendirian mahasiswa berhubung isu-isu yang berlaku di negeri Perak baru-baru ini:
Mahasiswa menolak politik rasuah atau politik wang yang diamalkan oleh sesetengah parti politik dan menggesa badan-badan pencegahan rasuah tidak berdiam diri begitu sahaja dalam hal ini. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan khusus perlu bersifat proaktif dalam isu-isu seperti ini dan bertindak secara ‘non-partisan’ atau ‘bias’. Ini bagi memastikan gejala rasuah dapat dibasmi dari akar umbi.
Cara perjalanan politik sebegini juga memberikan suatu sudut pandang negatif mahasiswa terhadap perjalanan sistem demokrasi di Malaysia. Ia membantut dan merencatkan generasi muda masa kini dalam memahami situasi dan suasana politik negara. Seharusnya kepimpinan negara yang ada pada hari ini tidak memandang ringan terhadap isu ini.
Jika dengan keadaan politik yang berlaku sekarang, tidak mustahil pada suatu masa akan datang parti politik tidak perlu bertanding dalam pilihanraya. Cukup sekadar mengumpulkan wang dan ‘membeli’ wakil-wakil rakyat yang menang dan menubuhkan kabinet mereka sama ada di peringkat DUN atau Parlimen.
Selain itu, tindakan melompat parti juga dilihat sebagai menafikan undi dan mandat yang diberikan rakyat pada Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) awal tahun lalu. Maka di sini mahasiswa menyeru seluruh rakyat Malaysia jangan berdiam diri dan melihat sahaja isu ini tanpa membuat sebarang tindakan. Rakyat Malaysia perlu bangkit memperbetulkan keadaan. Kita tolak parti-parti politik yang mengamalkan budaya ‘lompat’ ini. Mereka tidak konsisten dalam perjuangan dan lebih mengutamakan kepentingan peribadi semata-mata. Rakyat perlu sedar bahawa hak-hak mereka telah dicabuli dan dipermain-mainkan oleh pihak-pihak tertentu.
Mahasiswa juga mengecam seluruh tindakan-tindakan yang di ambil oleh mana-mana pihak yang memperlihatkan ketidak’demokrasi’an dalam perjalanan sistem politik negara.
Dalam isu ini juga, mahasiswa sekali-kali tidak akan mengambil sikap anti-sultan dalam isu ini. Namun begitu mahasiswa mengharapkan supaya seluruh institusi sultan dan raja-raja Melayu di negara ini tidak ‘bias’ dan rasional dalam membuat sebarang keputusan. Instisusi ini perlulah bebas, berkecuali, dan bersikap ‘neutral’ dalam membuat sebarang tindakan. Kepentingan dan keperluan rakyat yang dipimpin hendaklah diutamakan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, mahasiswa benar-benar kecewa terhadap perkembangan politik Malaysia yang berlaku sekarang. Peristiwa-peristiwa seperti ini menjadi cerminan bentuk-bentuk pemerintahan dan pentadbiran kerajaan yang ada sekarang. Kalaulah pemimpin itu telah pun menunjukkan mereka lebih mengutamakan kepentingan diri dan mengenepikan aspek perjuangan dan rakyat dalam mendapatkan jawatan, kita cukup yakin bahawa mereka suatu hari nanti akan bersikap lebih buruk daripada ini dalam melaksanakan urusan pentadbiran negeri atau negara.
No comments:
Post a Comment