Saturday, August 29, 2009

Perang Ajnadain


Buat pengetahuan semua, antara peristiwa yang berlaku pada bulan Jamadil Awal juga ialah berlakunya Peperangan Ajnadain. Peristiwa ini berlaku pada 27 Jamadil Awal tahun 13 H atau bersamaan 3 Julai 634 M. Peristiwa ini berlaku pada penghujung zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan awal pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.

Ia berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Amru bin Al-`As, Abu `Ubaidah bin Al-Jarrah, dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang dikepalai oleh Atrabun di kawasan Ajnadain iaitu di Timur Jerusalem (Al-Quds). Peperangan ini berlaku berhampiran bandar Ramallah dan membuka jalan untuk pembukaan bandar Palestin.

Kisahnya begini, walaupun Kaisar Herkules telah tidak ada lagi di bumi Syam, namun saki baki kekuatannya masih berada di mana-mana dan pasukan Islam tidak mudah untuk menguasai wilayah itu. Apalagi Putera Mahkota Constantine yakni putera kepada Kaisar Herkules masih bertahan di Kaisaria Palestin dan terus menghimpun kekuatan untuk melawan pasukan Islam. Dia meminta bala bantuan dari Pulau Cyprus, Semenanjung Greek, dan lain-lain tempat untuk mempertahankan Palestin dan kota suci Jerusalem dari jatuh ke tangan kaum Muslimin.

Sementara di pihak Islam panglima besar Abu Ubaidah bin Jarrah telah menugaskan Panglima Amru bin Ash untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Rom. Beliau berangkat bersama 9000 orang tentera Islam dengan didampingi oleh Panglima Syarahbil bin Hasanah melintasi dataran tinggi Golan menuju ke sasaran yang telah ditetapkan.

Apabila terdengar berita bahawa pasukan kaum Muslimin telah mara dari Damsyik ke arah Selatan, Putera Constantine menunjuk panglima Atrabun sebagai panglima besar untuk mengetuai seluruh kekuatan angkatan perang Rom yang jumlahnya dianggarkan 70 000 orang.

Dia berpendapat untuk mencapai kemenangan, pasukan Rom yang berada di berbagai tempat mesti di satukan di bawah satu kepimpinan di samping memecahkan kekuatan Islam. Untuk itu Atrabun menempatkan sebuah pasukan besar di Ramallah dan sebuah pasukan lagi ditempatkan di Aila, Baitul Maqdis. Ia bertujuan untuk memecahkan kekuatan pasukan Islam dan untuk menampung bala bantuan yang datang dari pihak luar. Sedang Atrabun sendiri mengetuai pasukan utama untuk menyekat kemaraan pasukan kaum Muslimin.

Tercetuslah pertempuran antara pasukan Islam yang dipimpin oleh Panglima Amru bin Ash dengan pasukan Rom dengan sangat sengit di berbagai tempat iaitu Afulla, Ain Harat, Jenin, Arraba, dan Burqa. Setelah beberapa bentengnya jatuh, Panglima Atrabun bersama pasukannya bertahan di Nablus tetapi berjaya dipatahkan juga oleh pasukan Islam. Akhirnya mereka bertahan di kota benteng Ajnadain yang terkenal kukuh itu dan pasukan Islam tidak akan dapat mengalahkannya lagi. Ini kerana benteng kota Ajnadain memang sangat terkenal kukuh dan dilengkapi dengan kemudahan serta perbekalan yang cukup. Panglima Atrabun mengharapkan pasukannya yang ditempatkan di Ramallah dan di Aila akan dapat berbuat sesuatu ke atas pasukan Islam agar usaha mereka gagal.

Panglima Amru bin Ash tidak mahu terperangkap oleh taktik licik Atrabun itu. Beliau mahu pasukan Rom yang diletakkan di Ramallah dan Aila tidak memberikan manfaat yang besar kepada pasukan Rom yang dipimpin oleh Atrabun. Untuk itu, beliau membentuk dua pasukan untuk dihantar ke Ramallah dan Aila. Pasukan ke Ramallah dipimpin oleh Abu Ayub al-Maliki dan pasukan dihantar ke Aila dipimpin oleh Alqamah bin Hakim dan Masruq al-Akki. Sedang panglima Amru sendiri dengan pasukan utamanya mengepung kota benteng Ajnadain dengan ketatnya.

Sama ada pasukan Rom yang ditempatkan di Ramallah atau di Aila oleh Atrabun, tidak dapat berbuat apa-apa sebab mereka telah diawasi pasukan Islam yang dihantar oleh panglima Amru. Sambil melancarkan serangan sekadarnya, panglima Amru menghantar surat kepada khalifah Umar bin Khattab memberitahukan taktik licik Atrabun dan memohon bala bantuan. Khlaifah Umar tersenyum apabila membaca surat panglima Amru, seolah-olah beliau mempunyai firasat bahawa taktik Atrabun itu bakal dikalahkan oleh panglima Arab.

“Kita akan melempar Atrabun Rom dengan Atrabun Arab. Kita lihat apa yang akan kita lihat.” Kata khalifah Umar bin Khattab kepada orang di sekitarnya.

Tindakan Berbahaya Seorang Panglima

Khalifah Umar bin Khattab segera menghantar pasukan ke Utara untuk membantu Amru bin Ash yang mengadakan pengepungan di Ajnadain setiap kali bala bantuan datang panglima Amru akan membahaginya tiga bahagian. Sebahagian dihantar ke Ramallah untuk memperkuat pasukan yang dipimpin oleh Abu Ayub di sana sebahagian dihantar ke Aila dan sebahagian lagi diserapkan ke dalam pasukan yang mengepung Ajnadain yang dipimpinnya sendiri.

Pengepungan telah berlangsung sekian lama dengan menggunakan panah, alat-alat pembentur dinding dan lain-lain, namun tidak berjaya. Dinding kota itu terlalu kukuh untuk dibolosi. Setiap lontaran api yang dilancarkan oleh pasukan Islam ke dalam benteng selalu dapat dipadamkan oleh musuh.

Musim dingin tahun itu semakin dekat padahal pengepungan belum menampakkan apa-apa hasil. Ketika panglima Amru sedang berfikir mencari cara, tiba-tiba beberapa orang Askar Rom keluar dari benteng dengan menjulang bendera putih sebagai tanda perutusan mencari jalan damai. Perutusan itu menjumpai panglima Amru untuk menyerahkan surat dari panglima Atrabun yang kandungannya meminta agar pasukan Islam kembali ke Arab. Kata Atrabun, usaha pasukan Islam mengepung dengan pasukan yang kecil itu, akan sia-sia sahaja. Ajnadain tidak akan jatuh. Apalagi musim dingin semakin dekat.

Panglima Amru mendapatkan idea untuk membalas perutusan Atrabun ini dengan tujuan untuk memerhatikan keadaan benteng dari sebelah dalam. Agar keadaan dalam benteng diketahui dengan mata kepalanya sendiri, panglima Amru nekad untuk menyamar sebagai perutusan menjumpai panglima Atrabun agar dibenarkan masuk ke dalam benteng. Dia melantik seorang askarnya menjadi ketua perutusan sedang beliau sendiri menjadi salah seorang anggotanya. Tindakan ini tentu sangat nekad dan penuh risiko. Sebab sekiranya pihak Atrabun mengetahuinya, sudah tentu nyawanya akan terancam.

Dengan menjulang bendera putih, perutusan pasukan Islam dibenarkan masuk ke dalam benteng dan menjumpai panglima Atrabun di balai penghadapan. Mereka mengajukan tiga pilihan kepada pihak Rom di Ajnadain iaitu memeluk Islam, menyerahkan kota secara damai dengan kewajipan membayar ‘jizyah’ bagi yang tidak mahu masuk Islam, atau melanjutkan peperangan dengan segala risiko.

Mendengar tuntutan itu Panglima Atrabun tertawa besar dan memperli pihak Islam dengan berbagai perkataan yang menyakitkan hati. Hal ini telah membuat perutusan Islam menyelar balas dan berlangsunglah sesi soal jawab. Panglima Atrabun terus mencemuh utusan Islam dengan penghinaan yang melampau. Amru yang berlagak sebagai seorang anggota delegasi biasa tiba-tiba tidak dapat mengawal diri lalu tampil ke hadapan. Dengan sikap angkuh dan berani, Amru membalas cemuhan Atrabun dengan perkataan dan hujah yang bernas. Hal ini telah menyebabkan Atrabun terpinga-pinga dan curiga ke atas orang yang sedang dihadapinya itu.

“Ini pasti Amru bin Ash atau orang yang dapat dijadikan pengangan olehnya. Tidak ada bencana yang lebih besar ke atas kaum itu daripada aku membunuh lelaki ini.” Kata Atrabun kepada dirinya sendiri.

Dengan perkataan lain, kalau lelaki yang dicurigainya itu dibunuh, pihak Islam akan ditimpa bencana besar. Sebaliknya kalau tidak, pihak Rom akan dilanda malapetaka. Tidak ada jalan yang lebih baik bagi Atrabun kecuali memanfaatkan peluang keemasan itu untuk membunuh si pemimpin Arab tersebut agar Ajnadain terselamat dari taktik perangnya.

“Ya, dia mesti dihapuskan sekarang juga.” Begitulah bisik Atrabun kepada dirinya sendiri. Atrabun memanggil seorang pengawalnya dan menceritakan sesuatu kepadanya secara rahsia. “Pergilah engkau ke tempat si Fulan dan tunggu di sana. Apabila orang lelaki itu lalu di situ, engkau bunuhlah dia.” Kata Atrabun kepada pengawalnya.

Dengan firasatnya yang tajam, Amru dapat menangkap apa yang direncanakan oleh Atrabun dan merasa dirinya berada dalam keadaan yang sangat berbahaya. Sebagai politikus Arab yang ulung, Amru tidak kehabisan akal dan beliau menemukan helah untuk melepaskan dirinya dari maut di dalam benteng musuh.

“Wahai Panglima Atrabun,” kata Amru. “Engkau sudah mendengar apa yang saya sampaikan dan aku telah pun mendengar tentang pendirian engkau. Sebenarnya aku hanyalah seorang dari sepuluh orang yang diutuskan oleh Umar bin Khatab supaya berunding masalah yang kita hadapi. Oleh kerana itu sekarang aku akan pulang terlebih dahulu dan akan kembali membawa utusan yang lain. Kalau mereka sependapat denganku, aku akan kembalikan mereka ke tempatnya semula dan aku bertanggungjawab kepada engkau.”

Panglima Atrabun termakan oleh helah Panglima Amru itu. Dia mulai sangsi dan tidak yakin bahawa orang yang dihadapinya itu adalah Amru. “Kalau begitu, pergilah engkau kepada teman-teman engkau dan bawa mereka ke sini.” Kata panglima Atrabun kepada Amru.

Panglima Amru segera keluar dari ‘kandang harimau’ itu dan kembali ke markasnya, namun tidak datang-datang lagi.

Serangan Ke Atas Ajnadain

Panglima Amru yang selamat dari dibunuh oleh panglima Atrabun terus pergi ke tengah-tengah pasukannya dan tidak kembali lagi ke dalam benteng Ajnadain. Apa yang beliau ucapkan pada Atrabun hanyalah helah balaka yang dibolehkan di dalam peperangan. Akhirnya panglima Atrabun pun tahu bahawa sangkaannya adalah betul. Oang yang datang kepadanya memang panglima Amru bin Ash, musuh utamanya. Atrabun merasa benar-benar tertipu.

“Orang itu telah menipuku. Inilah manusia yang paling cerdik.” Kata Atrabun meyatakan penyesalannya kepada tenteranya.

Apa boleh buat, kini musuh yang paling dikehendakinya itu telah berada di tengah-tengah pasukannya, tidak mungkin lagi dapat ditangkap untuk dibunuh. Siapa yang berani menangkap singa di tengah-tengah serigala yang ramai?

Apabila khalifah Umar bin Khattab mendengar taktik jitu Amru itu, beliau berkata, “ Amru telah mengalahkannya. Dia memang hebat.”

Hasil kerja nekad dan kecerdikannya itu, panglima Amru kini telah mengetahui keadaan di dalam benteng. Beliau telah mengetahui di mana letaknya kekuatan dan kelemahan benteng musuh. Kerana selama beliau berada di dalam benteng, kedua-dua matanya tidak henti-henti melihat ke segala penjuru dengan teliti. Beliau berunding dengan orang-orang kanan dan para askarnya yang lain. Diberitahunya segala apa yang telah dilihatnya sendiri dan tempat-tempat strategik pada bahagian dalam yang mudah untuk diserang dari luar.

Dengan berpegang pada pengamatan Panglima Amru dan juga pendapat beliau, para pemimpin pasukan Islam tidak nampak jalan lain yang lebih berjaya kecuali mengadakan serangan secara besar-besaran. Pasukan Islam yang gagah berani itu pun melancarkan serangan yang hebat ke atas sasaran yang telah dikenalpasti. Regu-regu penerobos dan pemusnah Islam bergerak ke arah berbagai pintu gerbang yang telah ditentukan sesuai dengan pengamatan panglima Amru sendiri. Pasukan pemanah sentiasa bersiap sedia melindungi pasukan pemusnah dinding benteng yang bekerja keras untuk meruntuhkannya. Setiap kali pasukan Rom menjulurkan kepalanya untuk menyerang pasukan Islam yang mara hampir dengan benteng, anak panah pasukan pemanah Muslim telah menembusi wajah, mata dan kepala mereka.

Akhirnya pasukan Islam berjaya membuka pintu gerbang benteng yang dikawal ketat itu. Bagaikan banjir besar, pasukan Muslim menerobos masuk ke dalam benteng membuatkan pasukan Rom kelam kabut. Apalagi apabila semua pintu gerbang telah dibuka dan dinding berjaya dibolosi, bertambah sengitlah pertempuran di antara kedua-dua pihak. Bumi Ajnadain bertukar menjadi merah oleh pancutan darah askar-askar yang kena tetak pedang atau ditembusi tombak dan panah.

Dalam peperangan Ajnadain, antara yang menyertainya adalah seorang Muslimah yang sangat berani iaitu Khaulah binti Azwar. Beliau merupakan salah seorang daripada tentera berkuda Islam serta begitu berani merempuh barisan ketumbukan Rom. Keberaniannya ini sewajarnya menjadi contoh kepada para Muslimah pada zaman sekarang.

Ketika matahari hampir terbenam, pasukan Rom sudah kelihatan sangat tenat dan nyaris hancur musnah sama sekali. Panglima Atrabun dapat membaca bahwa pasukannya tidak ada harapan untuk menang atau dapat bertahan. Oleh kerana itulah sebelum matahari terbenam, Atrabun menarik sisa-sisa pasukannya dari medan pertempuran untuk mengelak dari hancur sama sekali. Mereka lari lintang-pukang bersama Atrabun untuk menyelamatkan diri dan menuju ke Jerusalem. Pasukan Islam sengaja memberi kesempatan kepada sisa-sisa pasukan Rom itu melarikan diri sebab di kemudian hari akan dimusnahkan juga. Dengan demikian akhirnya benteng Ajnadain yang terkenal kukuh itu jatuh ke tangan kaum Muslimin.

Kemenangan tentera Islam di dalam peperangan ini membuka jalan untuk menyempurnakan pembukaan Islam di seluruh bumi Syam.

(Sumber: Ibnu Shafa, Benteng-Benteng Umat: Kehandalan Para Panglima Perang Islam, j. 2, h. 81.)






1 comment:

suyas said...

Setahu saya Panglima Khalid Al Walid yang mengetuai peperangan mereka bergabung dengan panglima Abu Ubaidah, Amr ibn Al-Ass, Shurahbail dan Yazeed. Kemudian mereka berangkat ke Damaskus. Selepas itu baru peperangan Yarmuk.