Friday, April 18, 2008

Belanda Menyalahi Prinsip Kebebasan Bersuara



Seperti yang dimaklumi, setiap individu mahupun kumpulan mempunyai hak dan kebebasan bersuara. Secara ringkas, hak dan kebebasan bersuara ialah kebebasan seseorang individu atau sesebuah kumpulan dalam menyalurkan idea, pendapat, cadangan, kritikan dan sebagainya kepada sesuatu pihak tanpa sebarang sekatan atau halangan. Namun demikian, kebebasan bersuara tersebut tetap ada had dan batasnya dengan mengambil kira sensitiviti atau perkara-perkara yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman sesuatu pihak.

Dalam hal ini, Kerajaan Belanda telah menyalahi prinsip kebebasan bersuara kerana membenarkan penyiaran sebuah filem anti-Islam berjudul ‘Fitna’ melalui sebuah laman web Liveleak.com pada 27 Mac lalu. Filem selama 15 minit ini diterbitkan oleh seorang ahli perundangan Belanda, iaitu Geert Wilders. Menurut Perdana Menteri Belanda, Jan Peter Balkenende, meskipun beliau menolak pandangan Wilders, namun beliau tetap menyokong kebebasannya untuk bersuara. Ternyata, Balkenende telah menyalahi prinsip kebebasan bersuara kerana membelakangi sentimen umat Islam di seluruh dunia.

Akibat daripada tayangan filem tersebut, ramai penganut Islam dan bukan Islam menentang dan menyelar tindakan Wilders itu kerana dikatakan bersifat perkauman dan menghina Islam. Ini kerana, filem tersebut secara terang-terangan telah mengkritik Islam, Al-Quran dan Nabi Muhammad S.A.W. dan ternyata tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Sehubungan itu, Wilders perlu diberikan ‘pengajaran’ terhadap tindakannya yang melampau. Situasi sebegini bukanlah merupakan kali pertama, tetapi adalah rentetan daripada isu penyiaran kartun menghina Nabi Muhammad S.A.W. di akhbar-akhbar Belanda dan Denmark dua tahun lalu. Bagi memastikan Kerajaan Belanda tidak mengulangi tindakannya itu, malah sebagai ‘teladan’ kepada negara-negara lain, umat Islam di seluruh dunia haruslah bersatu dan mengambil tindakan tegas terhadap negara tersebut. Antaranya ialah melalui kerjasama di antara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), negara-negera Islam dan NGO serta badan dan petubuhan Islam lainnya dengan mengenakan tekanan ke atas Belanda agar bertindak terhadap penerbit filem ini. Contohnya ialah dengan memulaukan sebarang produk dan barangan yang dikeluarkan oleh Belanda buat sementara waktu. Keadaan ini serba sedikit pasti akan menyebabkan ekonomi Belanda terjejas, dan pastinya Belanda akan ‘serik’ untuk mengulangi tindakan biadap seumpama itu lagi.

Selain itu, Kerajaan Malaysia dan negara-negara umat Islam lainnya serta negara-negara yang menentang tindakan Wilders itu boleh mengemukakan bantahan terhadap negara tersebut dengan menghantar memorandum bantahan. Setidak-tidaknya dengan memorandum ini, Belanda akan mendapat tamparan kerana menerima bantahan secara bertulis yang memberi gambaran bahawa negaranya dikecam oleh kebanyakan negara dunia. Dengan demikian, Belanda pasti akan gentar kerana bimbang kepentingan negaranya akan tergugat.

Justeru, setiap individu atau kumpulan dalam sesebuah negara haruslah berhati-hati dalam sebarang tindakan yang ingin diambil, kerana padahnya mungkin sangat besar sehingga boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan negara. Dalam hal ini, kita sememangnya menghormati kebebasan bersuara dan berkarya, tetapi ia perlu ada had dan batasnya. Jangan kerana salah percaturan, negara ‘tergadai.

No comments: