Friday, April 18, 2008

Demonstrasi...

Forum Biasa yang Luar Biasa

Semalam, telah berlangsungnya Forum Pimpinan di Akademi Pengajian Melayu yang membincangkan mengenai Rasulullah s.a.w sebagai tokoh perpaduan. Saya dijemput untuk bergandingan dengan YDP MPMUM saudara Afandi Sutrisno Tanjung bagi merungkai persoalan ini. Forum ini sangat luar biasa. Pertama kali saya mengalaminya dalam sejarah saya berforum.

Apa pun, saya tidaklah berniat mahu mengisahkan apa yang luar biasa itu, tetapi saya sebenarnya mahu merungkai persoalan yang saya anggap menarik perhatian saya. Sewaktu sesi soal jawab, seorang mahasiswi telah mengajukan persoalan kepada saya. Antara soalannya lebih kurang begini : “Mengapakah PMI (singkatan bagi Persatuan Mahasiswa Islam) mengambil pendekatan berdemonstrasi, sedangkan ia akan mengundang gambaran serong daripada non-muslim kepada PMI yang agresif dan ekstrim.”

Soalan inilah yang saya mahu kupas dalam ruangan ini.

Demonstrasi dan Sunnah s.a.w

Mungkin istilah ‘demonstrasi’ adalah sinonim dengan anak-anak buah saya yang komited dengan persatuan. PMI dan demonstrasi bagaikan aur dan tebing dan mungkin sekali ibarat lidah dan gigi. Itu pandangan mungkin sebahagian warga kampus. Saya akuinya. Mungkin timbul di kalangan kawan-kawan saya daripada fakulti yang tertanya-tanya, adakah demonstrasi ini terdapat dalilnya dalam Al-Qur’an atau as-Sunnah? Oleh itu, sukalah saya ingin menjelaskan bahawa demonstrasi itu ada nasnya.

Dalam ilmu Hadith yang saya pelajari, umumnya terdapat beberapa perkara yang disepakati jumhur sebagai sunnah dan selain daripada qaul dan fi’li, di sana terdapat sirah nabawi (sejarah/perjalanan nabi s.a.w) turut dikira sebagi sunnah. Menelusuri sirah Nabi s.a.w, saya ingin memetik peristiwa sewaktu Rasulullah s.a.w mula menzahirkan dakwah baginda. Ketika itu, bermulalah era penentangan daripada kaum musyrikin Makkah. Sehinggalah Rasulullah s.a.w mengarahkan para sahabatnya berkumpul dan berpegangan tangan dan menyusun barisan dengan teratur lalu bergerak sekeliling kawasan Makkah. Tatkala itulah umat Islam dilempar dengan kayu dan batu dan dihalang dengan bakaran kayu api. Inilah ‘demonstrasi’ pertama yang dilakukan Rasulullah s.a.w,. bagi saya, tujuan ar-Rasul hanyalah untuk menzahirkan bahawa Islam sudah bertapak dalam hati penduduk Makkah. (Sila Rujuk Fiqh As-Sirah, jilid 1)

Demonstrasi dan Keganasan?

Mengapa dasawarsa ini, orang sering menyama-ratakan bahawa demonstrasi itu seolah-olah mengundang pelbagai masalah dan ketakutan. Benarkah? Dalam soalan itu juga, siswi tersebut ada menyatakan : “Tidakkah ada cara lain yang lebih lembut seperti berbincang dan sebagainya..?” lalu saya menjawab : “Ada.” Jadi kenapa perlu buat demonstrasi? Maka jawapannya ialah kerana cara-cara itu langsung tidak memberi kesan kepada pihak tertentu dengan tuntutan/keinginan kita harapkan. Saya katakan di sini, PMIUM memang menggunakan pendekatan diplomasi dan tahaluf dalam semua perkara. Kami senantiasa mendepakan tangan untuk berbincang, berforum, berseminar dan sebagainya dalam mencapai kesepakatan. Dan ada juga beberapa perkara yang boleh diselesaikan dengan cara ini. Namun soalnya, bagi PMIUM cara ini seringkali dipandang sinis oleh beberapa pihak dan menganggap ia sebagai picisan yang hanya sebelah mata dipandang. Justeru itulah, PMIUM kadangkala merasakan perlunya menjentik sedikit kesedaran kepada golongan-golongan ini supaya tidak terlalu memandang ringan isu-isu yang berlaku. Maka demonstrasi salah satu caranya.

Demonstrasi sebagai Medium Dakwah

Tak pelik dan ajaib, jika betul dengan caranya, demonstrasi dapat menarik orang bukan Islam untuk sama-sama menyertai Islam! Kerana demonstrasi adalah medium dakwah. Saya bawakan satu contoh, baru-baru ini, seluruh negara serentak mengadakan demonstrasi membantah penyiaran filem Fitna yang menghina Islam. Dengan demonstrasi ini, seluruh dunia membuka mata. Di Belanda sendiri, hampir beberapa juta dihabiskan oleh pihak-pihak tertentu untuk mencetak Al-Qur’an. Sebabnya, ramai rakyat non-muslim terutamanya mahu melihat dan memahami sendiri apa yang diperkatakan oleh filem tersebut. Benarkah atau salahkah? Lalu, mereka membeli Al-Quran dan mengkaji, rupa-rupanya Islam tidak seburuk yang disangka. Hinggalah membawa mereka mengkaji Al-Quran seluruhnya dan akhirnya memeluk Islam. Dan ia benar-benar berlaku.

Melihat Demonstrasi dari Sudut Berbeza

Saya ingin sekali membawa sahabat-sahabat melihat banyak perkara. Melihat dari banyak sudut dan ruang. Orang cakap, demonstrasi ni akan menyebabkan ramai orang takut, ramai lari dan tak suka. Sebenarnya itu hanya mimpi-mimpi kita yang terkadang didoktrin dengan suara-suara sumbang tepi jalan. Cuba sahabat-sahabat perhatikan, tanggal 12 Rabiul Awwal setiap tahun. Seluruh Malaysia melakukan ‘demonstrasi’ besar-besaran, membawa sepanduk dan melaung-laung beramai-ramai. Tapi kenapa ‘demonstrasi’ ini tidak dianggap ganas ya? Sebabnya, itu adalah perarakan Maulidur Rasul. Bagi saya, itulah demonstrasi sebenarnya. Tetapi demonstrasi ini telah ‘dijernihkan’ oleh semua pihak terutamanya media massa yang sangat berpengaruh dalam masyarakat.

Modus operandinya sebenarnya sama sahaja. Cumanya dalam aspek publishnya sahaja berbeza. Saya merasakan, demonstrasi itu banyak menunjukkan dan meninggikan izzah (kehebatan) Islam. Bukan ganas, tetapi penghormatan. Jika kawan-kawan kita yang beragama Hindu boleh berbangga dengan perarakan Thaipusam, mengapa kita tidak boleh bangga dengan perarakan atau demonstrasi kita?

Akhirnya, saya nak mengajak sahabat-sahabat tak kiralah sesiapa pun, walau apa pun idealisme dan pemikiran untuk sama-sama kembali menilai dan mengkaji. Ketepikan soal remeh-temeh, ideologi politik dan sebagainya. Harapannya, kupasan saya ini sedikit memberi kefahaman kepada sesiapa sahaja yang membaca.

Atau mungkin selepas ini kita akan sama-sama berarak dengan aman dan sejahtera jika terdapat sesuatu masalah dan isu tanpa perlu menyebut ‘demonstrasi’ yang menakutkan itu..!


"Sejahtera Bersama PMIUM"

No comments: