Friday, April 18, 2008

Harapan Baru Buat Kerajaan Baru

Ramai yang terkedu sebaik keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 diketahui. Politik tanah air bergelora bagai dilanda ‘Tsunami’ berikutan hasil keputusan pilihan raya yang di luar jangkaan, bahkan ramalan para penganalisis politik juga seolah-olah terbalik. Mengejutkan, bahkan langsung tidak terduga apabila tumbangnya calon-calon Barisan Nasional (BN) yang berpengaruh di kawasan-kawasan yang ditandingi sejak beberapa penggal yang lalu. Kejatuhan Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang ke tangan parti pembangkang mengakibatkan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga kerusi. Namun begitu, inilah realiti politik yang harus diterima kerana rakyat telah memuktamadkan keputusan mereka melalui pemilihan dalam proses pilihan raya.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor, sebanyak 72.2 peratus daripada 10.9 juta pengundi berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 baru-baru ini. Beliau turut mendedahkan bahawa Kelantan dan Putrajaya mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi, iaitu masing-masing 81 peratus. Dipercayai, peningkatan jumlah yang turun mengundi pada kali ini adalah lebih tinggi berbanding pada pilihan raya umum lalu. Sebagai contoh, di Kelantan, jumlah yang keluar mengundi adalah sebanyak 608,862 orang daripada 751,682 pengundi berdaftar, berbanding pilihan raya umum 2004, iaitu 80.7 peratus daripada keseluruhan 662,722 pemilih. Daripada jumlah tersebut, generasi muda merupakan antara mereka yang turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Bahkan, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa generasi muda merupakan salah satu faktor berlakunya ‘rombakan’ politik tanah air dengan terbentuknya beberapa buah kerajaan campuran yang diterajui parti-parti pembangkang. Namun demikian, ini bukanlah bermakna golongan belia sekadar ‘suka-suka’ mahu mencetuskan perubahan dalam arus politik tanah air, tetapi ianya mengandungi maksud tersirat yang harus direalisasikan oleh kerajaan-kerajaan yang baru dibentuk.

Setelah berjaya membentuk kerajaan, sudah tentulah rakyat mengharapkan sesuatu daripada pemimpinnya. Antara yang diharapkan oleh generasi muda khususnya, terhadap kerajaan-kerajaan baru yang dibentuk hasil daripada kemenangan pilihan raya umum lalu ialah melaksanakan manifesto mereka sewaktu tempoh berkempen lalu dengan bersungguh-sungguh. Antara manifesto yang menarik perhatian rakyat ialah yang dicetuskan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mengangkat tema ‘Menuju Negara Berkebajikan’ yang dibina di atas teras serta paksi ‘Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih.’ Manifesto tersebut mengandungi 12 Teras yang cenderung kepada kebajikan rakyat. Sebagai contoh, dalam Teras 4 mengandungi ‘Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan,’ Teras 5- ‘Jaminan Perkhidmatan Kesihatan Rakyat,’ Teras 6- ‘Kebajikan Pekerja Sektor Awam dan Swasta’ dan beberapa lagi yang sangat menarik perhatian rakyat. Justeru, kami selaku generasi muda mengharapkan agar kerajaan baru yang dibentuk ini dapat melaksanakan janji-janji mereka menurut kuasa yang ada dalam tangan mereka.

Selain itu, kami turut mengimpikan wujudnya kesatuan antara parti-parti yang memerintah, sama ada kesatuan itu daripada parti-parti komponen dalam kerajaan campuran, atau di antara Kerajaan Negeri yang terdiri daripada kerajaan campuran dengan Kerajaan Pusat yang diterajui Barisan Nasional. Hal ini demikian supaya proses pemerintahan dalam negara dapat berjalan dengan licin dan pembangunan bersepadu dapat dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Antara lain, kami mengharapkan kerajaan-kerajaan baru agar memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan di negeri-negeri yang dimenangi oleh mereka. Mungkin kerajaan-kerajaan baru ini boleh memikirkan langkah terbaik bagi mengatasi pengangguran graduan yang tinggi dan kejatuhan taraf ranking universiti awam di negeri-negeri terlibat. Hal ini terbukti melalui laporan Times Higher Education Supplement (THES) yang tidak menyenaraikan walau satu pun universiti di Malaysia dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007. Pada tahun 2004 contohnya, Universiti Malaya dikategorikan sebagai 100 universiti terbaik dunia dengan menduduki ranking ke-89. Namun, kedudukan ini juga semakin merosot bermula tahun 2005 hingga tahun-tahun seterusnya, iaitu pada kedudukan 169 dan 192. Justeru, mungkinkah kerajaan baru yang telah terbentuk mampu memikirkan satu formula baru bagi menangani kemerosotan ini?

Dunia hari ini sering menyaksikan terdedahnya masyarakat kepada keruntuhan moral dan jenayah yang berleluasa. Contohnya, jenayah rogol dan pergaduhan yang dilaporkan adalah antara 1,831 kes sepanjang tahun lalu. Oleh yang demikian, kerajaan baru diharap dapat mengurangkan kadar keruntuhan akhlak dan jenayah sekurang-kurangnya di negeri-negeri yang diperintah oleh mereka melalui pendekatan-pendekatan yang dirasakan wajar dan berkesan.

Justeru, kami mengharapkan kerajaan baru yang telah memegang tampuk pemerintahan dalam Kerajaan Negeri jelas dari segi matlamat yang ingin dicapai mereka sebelum melaksanakan pentadbiran di negeri masing-masing supaya tidak timbul kecelaruan dalam membangunkan negeri-negeri tersebut. Ini bagi memastikan pemimpin dapat mempertahankan hak rakyat, sehingga yang lemah dan miskin terbela serta tidak ditindas. Untuk akhirnya, buat kerajaan-kerajaan baru yang terbentuk, sepotong ungkapan daripada seorang Khalifah agung, Saidina Umar, sebagai ‘buah tangan’ untuk direnung dan dihayati: ‘Fahamilah benar-benar ilmu sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin’ (Riwayat al-Bukhari).

No comments: