Friday, April 18, 2008

Takkan Melayu Hilang Di Dunia

Perhimpunan Perpaduan Melayu yang dianjurkan oleh beberapa NGO Melayu di PWTC pada 12 April lalu masih lagi cuba untuk berpaksikan pergantungan politik terhadap Umno sebagai satu-satunya wadah untuk orang Melayu. Sedangkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu ternyata menegaskan bahawa parti itu sudah kurang kepercayaan bagi menerajui bangsa dan umat Melayu setelah banyak tindakan mereka yang kelihatan menghakis dan memupuskan keperibadian dan identiti Melayu selama mereka memegang tunggak kuasa. Pada dasarnya, perpaduan dan survival Melayu sebenar dipupuk bukannya melalui perubahan di dalam Umno, tetapi melalui perubahan drastik terhadap sikap dan pendirian kerajaan Persekutuan yang masih di dalam tangan parti berkenaan.

Segala bentuk penjajahan minda orang Melayu yang dibelenggu oleh kehadiran peraturan dan perundangan yang dicipta oleh Umno perlulah segera dihapuskan. Akta Universiti dan Koleh Universiti (AUKU) contohnya menyekat kemajuan dan kebebasan berfikir mahasiswa dan pensyarah serta ahli akademik Melayu, inilah yang perlu dihapuskan terlebih dahulu. Begitu juga media arus perdana, perlu dibebaskan agar orang Melayu dapat berfikir dengan lebih matang dan kritikal. Kerajaan perlu membenarkan wujudnya lebih banyak media yang bersifat ilmiah dan bukannya menjurus kepada hiburan yang menghayalkan semata-mata, yang banyak mencorakkan budaya dan pemikiran bangsa Melayu kini.
Dibidang ekonomi, orang-orang Melayu jauh tercicir dan sering terpinggir apabila amalan-amalan ekonomi digunakan sebagai umpan dan rasuah untuk memperolehi sokongan dan kuasa serta gelanggang amalan rasuah. Pemberian subsidi dan bantuan kerajaan seolah menjadi hak dan percaturan golongan tertentu sehingga orang Melayu akhirnya tidak maju sebaliknya lesu dan tertipu.
Perpaduan dan kekuatan Melayu akan terbina jika orang-orang Melayu sentiasa disuntik dengan kesedaran beragama. Penyebaran dan dakwah serta kesedaran Islam perlulah dipulihkan. Selama ini jabatan-jabatan dan institusi agama telah diperkudakan untuk kepentingan dan kelangsungan politik mereka. Orang-orang Melayu yang tidak menerima kefahaman Islam sebenar akhirnya tidak menguntungkan bangsanya malah menjadi liabiliti kepada ummah.
Oleh itu kiranya semua pihak jujur mahu memperjuangkan agenda Melayu dan Islam, mereka perlu sedar bahawa Umno lah yang selama ini merupakan punca dan masalahnya. Umno ditolak dalam Pilihan Raya Umum lalu kerana umat Melayu mahukan perubahan dan pembaharuan. Kesimpulannya perubahan dan pembaharuan itu hendaklah mengambil kira pandangan kuasa politik Melayu yang baru yang tidak lagi hanya didominasi oleh Umno pada hari ini.

No comments: