Friday, April 18, 2008

Pembentukan Kabinet Pak Lah: Petanda Perubahan

Perlantikan barisan Kabinet baru Kerajaan Pusat telah berkuat kuasa pada 19 Mac 2008 lalu. Ternyata perlantikan tersebut mengejutkan semua pihak apabila terdapat ‘muka-muka baru’ yang dilantik tidak pernah menganggotai Kabinet Persekutuan sebelum ini. Tambah mengejutkan apabila Perdana Menteri turut menggugurkan tujuh anggota veteran yang telah menganggotai Kabinet sejak sekian lama, serta merupakan antara ‘menteri-menteri popular’ dalam barisan Kerajaan. Apakah fenomena ini merupakan suatu petanda positif bagi negara Malaysia?

Seperti yang dimaklumi, pemilihan barisan Kabinet Persekutuan merupakan hak mutlak Perdana Menteri, dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggunakan kuasa tersebut dengan memilih anggota-anggota baru yang beliau rasakan mampu memikul tugas dan amanah dengan baik. Namun demikian, bukanlah bererti anggota-anggota lama yang sebelum ini menganggotai Kabinet, tetapi tidak terpilih semula pada sesi ini, telah disisihkan dan tidak lagi mendapat kepercayaan Perdana Menteri. Secara positif, keadaan ini menggambarkan hasrat Perdana Menteri untuk memberi peluang kepada muka-muka baru berkhidmat dengan Kerajaan, sementara bekas-bekas anggota Kabinet sebelumnya sebagai ‘mentor’ bagi anggota-anggota baru dalam melicinkan urusan pentadbiran Kabinet yang telah dibentuk.

Jika dilihat kepada senarai Kabinet yang telah dipilih, tokoh perbankan dan peguam terkemuka negara contohnya, iaitu Datuk Amirsham A Aziz dan Datuk Mohd Zaid Ibrahim menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pemilihan tersebut secara tidak langsung menunjukkan keinginan Perdana Menteri yang mahu mewujudkan perubahan dalam badan kehakiman dan ekonomi negara secara lebih baik, selaras dengan kemajuan yang dicapai oleh Malaysia.

Justeru, syabas dan tahniah diucapkan kepada semua anggota Kabinet bagi sesi baru yang telah dipilih menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri bagi setiap Kementerian pada kali ini. Harapan rakyat agar barisan Kabinet Persekutuan yang baru terbentuk mampu menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan cekap, adil dan penuh dedikasi, bahkan berupaya mencetuskan perubahan positif dengan membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya, dan negara umumnya.

No comments: