Wednesday, February 18, 2009

MUSAWAH: SATU LAGI USAHA LIBERALIS MEROSAK MINDA UMAT

Pada 13 Februari yang lepas, satu program ‘Musawah’ iaitu Global Movement for Equality and Justice in the Muslim Family anjuran pendukung kuat fahaman sesat Islam Liberal di Malaysia iaitu Sisters in Islam (SIS) telah diadakan di hotel mewah (bertaraf lebih lima bintang) The Prince Hotel, Kuala Lumpur. Seramai lebih kurang 200 orang (kebanyakannya adalah tokoh leberalis Muslim) telah dijemput dari 40 buah negara untuk menghadirinya. Mesyuarat yang memakan biaya yang besar itu berlangsung sekitar 5 hari dan diadakan secara tertutup. (Sumber: Bernama)

Antara mereka yang hadir termasuklah Muhammad Khalid Masud iaitu pengerusi Majlis Ideologi Islamik dari Pakistan, Farida Bennani dari Morocco, Sana Benachour (Tunisia), Hussein Muhammad (Indonesia), Ziba Mir-Hosseini (Britain), Zainah Anwar (Malaysia), Siti Musdah Mulia (Indonesia) dan Nur Rofia (Indonesia) dan aktivis bukan Islam seperti Cassandra Balchin (UK) dan lain-lain yang kesemua mereka ini merupakan tokoh-tokoh yang membawa idea liberalisasi dalam Islam.

Musawah dilihat bertujuan mempertikaikan prinsip-prinsip Islam khususnya dalam hukum syariah yang berkaitan wanita dan kekeluargaan. Prinsip-prinsip dan hukum tersebut adalah dari nas-nas al-Quran dan Hadis dan yang dipersetujui serta diterima oleh ulama’-ulama’ muktabar. Kertas kerja dan bengkel-bengkel yang dibentangkan semasa perjumpaan adalah bertujuan untuk menginterpretasikan semula al-Qur’an dan al-Hadith dari sudut pandang wanita yang selama ini dikatakan bias pada lelaki. Selain itu, Musawah juga mengenengahkan isu hak sama rata antara lelaki dan perempuan dalam kekeluargaan Islam melalui hukum-hakam seperti poligami, faraid, ketaatan isteri, izin keluar rumah, aurat wanita, dan sebagainya. Hukum-hakam ini dipertikaikan dengan melanggar segala syari‘at yang dibawa oleh al-Qur’an dan al-Sunnah.

Perjumpaan ini antara lain juga memberi persepsi dan negatif kepada Malaysia yang digambarkan sebagai negara yang mengamalkan undang-undang Syariah yang mendiskriminasi wanita terutama apabila perjumpaan ini dibawa perhatian kepada wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dengan kehadiran Professor Yakin Erturk (The United Nations Special Rapporteur on Violence Against Women) yang merasmikan perjumpaan tersebut.

Sehubungan dengan itu, ramai pihak yang bangkit membantah pelaksanaan progran ini. Antara yang turut bangkit ialah Persatuan Ulama Pulau Pinang (Bernama-13 Feb), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (gamisdily.com), dan beberapa badan yang lain. Namun begitu, perkara yang menyedihkan ialah isu ini langsung tidak dipandang kritikal oleh pihak-pihak berwajib terutamanya jabatan-jabatan kerajaan jauh sekali untuk mengambil. Walhal isu ini merupakan suatu penghinaan yang besar terhadap agama Islam itu sendiri dan tidak keterlaluan untuk saya nyatakan disini bahawa ia sama seperti ajaran-ajaran sesat yang sedaya-upaya dibasmi oleh negara.

Dahulu, semasa isu karikatur Nabi di Denmark, satu Malaysia bangkit untuk membantahnya. Sama juga dengan isu pengeboman di Gaza, berbagai pihak tampil membantah isu kezaliman tersebut. Bukan setakat NGO-NGO, bahkan parti-parti politik sama ada pembangkang ataupun kerajaan juga ambil bahagian. Tapi isu ini yang melibatkan content agama Islam itu sendiri... front page pun tak dapat. Ini yang mengecewakan kita.

Saya juga sempat merujuk beberapa kertas kerja yang di bentangkan, pemakaian-pemakaian disiplin dalam menafsirkan al-Quran dan al-Sunnah dalam membahaskan hukum-hukum Islam tidak ada sama sekali. Kebanyakannya hanya berdasarkan logik-logik pemikiran, bersifat bias dan emosi dalam penghujahannya. Ia sekaligus menolak disiplin-disiplin lain seperti usul fiqh, maqasid syari’ah, dan sebagainya.

Justeru itu, saya mewakili seluruh mahasiswa Islam di Uniersiti Malaya juga turut membantah penganjuran program Musawah dan yang seumpama dengannya. Ini kerana ia bercanggah dengan prinsip keilmuan itu sendiri yang bertujuan untuk mencari kebenaran dan menuju kepada keredhaan Allah SWT.

PMIUM juga menggesa pihak-pihak berwajib terutamanya badan-badan kerajaan supaya tidak mendiamkan diri begitu sahaja tanpa mengambil tindakan terhadap isu ini. PMIUM sedia membantu demi memastikan ketulenan dan kesucian ajaran Islam itu terus terpelihara. Dalam masa yang sama juga, PMIUM juga menyeru kepada seluruh masyarakat supaya mempelajari dan menimba ilmu Islam dari saluran yang betul dan dipercayai.